Saturday, September 6, 2008

"Semua jurulatih perlu dipantau"

Artikel dari Berita Harian Ahad 7 September 2008
Saya tertarik untuk memberi pendapat dan pandangan tentang isu jurulatih perlu dipantau dimana isu ini telah dikemukakan oleh Setiausaha Kehormat MOM, Datuk Sieh Kok Chi. Bagi saya sepatutnya isu ini telah lama dibincangkan kerana negara kita sudah lama dahagakan pingat emas sejak bermulanya Malaysia menyertai sukan olimpik lagi.

Saya difahamkan bahawa kita sering mendengar jurulatih memberikan kenyataan bahawa atlit mereka boleh mencapai sasaran tinggi yang ditetapkan terutama dalam kejohanan penting tetapi bertukar menjadi satu kepalsuan apabila gagal menepati ramalan itu. Pendapat saya, semua jurulatih perlu lebih berusaha keras untuk memperbaiki teknik-teknik latihan atlit mereka. Cadangan saya agar semua jurulatih ini perlu membuat beberapa kajian tentang pelbagai teknik dan kaedah yang sesuai untuk atlit negara dan mereka juga boleh membuat perbandingan teknik dari luar negara ataupun bertukar-tukar pendapat dari negara yang lebih maju pencapaiannya dalam sukan contohnya United State.

Bagi pendapat saya lagi, jika kita boleh menilai dan memantau prestasi atlit, kita juga perlu melakukan perkara yang sama terhadap jurulatih tidak kira jurulatih tempatan ataupun luar negara asalkan mereka berkhidmat dengan Majlis Sukan Negara dan persatuan sukan kebangsaan. Sekiranya jurulatih juga dipantau, kita juga akan tahu tahap prestasi jurulatih tersebut dimana kita tidak boleh menyalahkan atlit sahaja sekiranya atlit tersebut gagal. Kita juga sering mempersoalkan dan mengkritik atlit setiap kali mereka gagal mencapai kemuncak prestasi mereka, tetapi kita juga perlu mendapat penjelasan daripada jurulatih mereka. Kita tidak boleh menyalahkan satu pihak sahaja.

Mungkin sebelum ini pemantauan dijalankan tetapi saya rasa ia belum mencukupi lagi. Kita tidak mahu lagi ada jurulatih yang memberikan maklumat ataupun harapan menggunung tinggi tetapi akhirnya kecewa apabila prestasi atlit tidak seperti yang diramalkan oleh jurulatih masing-masing. Oleh itu, saya menyarankan supaya pihak Majlis Sukan Negara dan persatuan sukan kebangsaan dapat membuat pemantauan dengan lebih efektif dan agresif terhadap semua jurulatih bagi melahirkan atlit yang lebih berwibawa dan berkualiti. Selain itu, mereka perlu berusaha untuk mencapai tahap sukan negara yang lebih maju.

Sekian pendapat saya.