Sunday, September 7, 2008

Sokong Atlit Paralimpik Kita : Jeanne

Artikel dari Berita Harian Isnin 8 September 2008

Baru-baru ini kita telah dikhabarkan Stadium Sarang Burung di Beijing bermandikan cahaya lagi bagi upacara pembukaan Sukan Paralimpik 2008. Sukan Paralimpik tersebut akan berlangsung sehingga 17 September 2008. Tidak ketinggalan para atlit kita juga akan terlibat dalam sukan tersebut.

Saya amat sependapat dengan saranan isteri Perdana Menteri Malaysia, Datin Seri Jeanne Abdullah bahawa beliau mahu rakyat Malaysia perlu sama-sama memberi sokongan moral kepada atlit paralimpik negara dan ia perlulah sama seperti kita beri sokongan kepada ahli sukan biasa yang lain. Bagi pendapat saya, atlit paralimpik ini tidak kurang hebatnya dalam bidang sukan, mereka sanggup berusaha gigih dan bersemangat dalam apa juga bidang yang mereka ceburi. Bagi mereka kecacatan tidak menghalang mereka untuk terus berjuang bagi menaikkan nama negara.

Selain itu, Saya juga amat bersetuju dengan pendapat Perdana Menteri kita bahawa kita tidak perlu meletak sasaran pingat kepada atlit paralimpik kita kerana tidak mahu memberi tekanan kepada mereka. Pak Lah yakin bahawa atlit paralimpik kita juga boleh menaikkan nama Malaysia di Sukan Olimpik. Saya mencadangkan supaya agensi-agensi tertentu dapat membuka peluang yang lebih luas lagi kepada Orang Kurang Upaya (OKU) untuk terlibat dalam bidang sukan. Bagi saya, mungkin di luar sana itu lebih ramai lagi OKU yang berbakat yang mungkin tidak berpeluang untuk mengetengahkan bakat mereka.

Pandangan saya agar atlit paralimpik ini juga diberi layanan dan keistimewaan yang sama dengan atlit sukan yang lain. Selain dalam bidang sukan, OKU ini sepatutnya tidak dipandang rendah dan kita perlu yakin dan mendorong mereka untuk lebih berjaya dalam semua bidang yang mereka ceburi. Disamping itu juga, saya mencadangkan agar Kerajaan kita perlulah memperbanyakkan lagi kemudahan asas untuk OKU supaya mereka senang bergerak seperti orang normal yang lain.

Sekian, pendapat saya.